Pada tarikh 02.02.13 (Sabtu) yang lalu, saya berkesempatan mendengar kuliah yang disampaikan oleh seorang guru berasal dari Pattani yang bergelar Tok Ayah Su di Pondok Ustaz Nan, Sungai Karangan, Kedah.
Penyampaian isi kuliahnya begitu asli dan jarang kita boleh mendengar kuliah yang begitu padat dengan isi dan penuh makna tersirat. Isi kandungannya merangkumi semua 3 cabang ilmu iaitu Tasawuf, Usul dan Feqah.
Semasa di awal penyampaianya. Beliau bertanyakan kepada semua hadirin jika ada apa-apa soalan. Semua membisu. Bila semua diam, Tok Ayah Su pun bercerita semasa beliau belajar dulu, jika semua senyap dan tiada soalan, maka gurunya akan beri salam dan akhiri kuliah kerana gurunya berpendapat semua dah pandai sebab tu tak ada soalan. He he he . Pandai jugak Tok Ayah Su ni buat lawak.
Ini antara isi kandungan kuliahnya (setakat yang saya faham) untuk kita berkongsi bersama. Beliau berkata antara tanda seseorang itu akan memperolehi syurga ALLAH swt diakhirat kelak adalah dia mesti mendapat syurga dunia terlebih dahulu. Soalannya “apa itu syurga dunia”? Daripada penerangannya syurga dunia itu adalah ketenangan atau “tak serabut” dalam dialek bahasa pattaninya. Untuk mendapat ketenangan atau “tak serabut” ni, beliau menghuraikan 3 perkara untuk kita amalkan.
1. Sentiasa memandang orang yang dibawah kita dalam hal-hal dunia. Maksudnya jika kita memakai selipar, hendaklah sentiasa memandang orang yang berkaki ayam. Jangan memandang orang yang memakai kasut kulit, barulah “tak serabut”. Hendak mencapai tahap ini bukanlah mudah. Hati, nafsu dan akal mestilah terdidik.
2. Untuk mendidik hati, nafsu dan akal, hendaklah sentiasa istiqamah dalam membaca Al Quran. 3 Surah pilihan perlu dibaca sepanjang hari sebelum kita tidur adalah surah Yassin, Al Mulk dan Al Waqiah. Jika ada ada masa lagi ditambah dengan surah As Sajadah. Jika tak sempat membaca semua surah tersebut, keutamaan ialah surah Yassin kerana ia adalah hati Al Quran. Beliau berpesan hendaklah istiqamah dengan waktu yang kita selesa ketika membaca Al Quran. Jika suka baca lepas solat subuh, maka bacalah selepas solat subuh setiap hari. Jika anda selesa baca lepas asar, berbuatlah begitu setiap hari tanpa diubah waktunya.
3. Perkara yang ke 3 adalah zikrullah. Zikrullah adalah bermaksud “mengingati ALLAH swt”. Tak kisahlah apa yang kita lakukan, asalkan membawa kepada kebaikan dan boleh mengingatkan kita kepada ALLAH swt.
InsyaALLAH, jika kita mengamalkan 3 perkara di atas ni, hati kita akan menjadi tenang dan “tak serabut” wehhhh.
ALLAHualam.
No comments:
Post a Comment